9 Tips Penting Dapatkan Gaya Tudung Pengantin Yang Cantik dan Gorgeous Di Hari Perkahwinan

Bagi si manis berhijab, anda mungkin selalu rungsing untuk mendapatkan gaya tudung pengantin yang tampak cantik di majlis resepsi. Penampilan yang menutup aurat sebenarnya tidak akan menjadi penghalang untuk kita kekal berkeyakinan dan selesa sepanjang masa. Namun begitu, pemilihan tudung yang salah semestinya memberi kesan kepada si pemakai. Oleh yang demikian, artikel pada kali ini akan berkongsi kepada para hijabista mengenai trik penting dapatkan gaya tudung pengantin yang mudah dan cukup praktikal.

Tips penting dapat gaya tudung pengantin sempurna

gaya tudung pengantin

Ini adalah beberapa perkara penting yang boleh dipraktikkan oleh bakal pengantin hijabista dapatkan gaya tudung pengantin yang tepat di majlis perkahwinan.

1. Pemilihan fabrik

Seeloknya kita tidak memilih fabrik yang berkilat untuk dipakai di hari bahagia nanti contohnya seperti fabrik satin. Satin bersifat panas dan sangat mudah membuatkan kita kurang selesa apabila digayakan dalam tempoh yang lama. Sebaliknya, pilihlah fabrik pilihan yang terbaik seperti sifon, georgette, cita, sari dan renda kerana kurang berkilat dan lembut.

2. Pemilihan rona

Rona atau warna pada tudung jangan dianggap remah untuk dapatkan gaya tudung pengantin yang terbaik. Pastikan pemilihan rona tudung seakan-akan busana yang dipakai

Contohnya kita memakai busana berona biru lembut, tudung juga perlu berada dalam kumpulan biru yang sama. Elakkan memilik tudung yang kontra seperti merah, kuning, hitam, dan sebagainya. Pilihan rona tudung juga harus sesuai dengan ton kulit kita.

3. Stail tudung

gaya tudung pengantin

Stail tudung semestinya berbeza mengikut jenis tudung yang mahu kita pakai sama ada tudung bawal, shawl atau sebagainya. Ia boleh digayakan dengan ikatan tudung berbentuk V, ikatan tudung berbentuk separuh bulat, atau ikatan runcing di bahagian tepi.

Namun pada umumnya, kaum muslimah perlu memastikan tudung labuh menutupi bahagian dada sekaligus memenuhi syariat yang telah ditetapkan. Sepertima mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

Maksudnya: “Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka.” – (Surah An-Nur, ayat 31)

Dalam masa yang sama kain tudung juga tidak boleh terlalu jarang sehingga menampakkan bentuk telinga, leher, atau mana-mana anggota lain dan menyelaputi bahu.

4. Pemilihan anak tudung

Anak tudung walaupun pakainya di dalam tetapi ia akan membuatkan penampilan kita semasa memakai tudung tampak lebih terletak, kemas dan selesa. Wajib jangan sampai nampak anak rambut.

Ini bukan sahaja penting bagi menutupi keseluruhan kepala tetapi juga memudahkan pemakaian layah dan tiara.

gaya tudung pengantin

5. Kesesuaian tudung dengan bentuk muka

Perasan atau tidak, kadang kala kita suka tiru gaya atau bentuk tudung yang dipakai mereka yang membuat tutorial di media sosial disebabkan hasilnya yang menarik dan cantik. Tetapi bila mana kita sendiri yang cuba pakai, hasilnya memang tidak serupa seperti yang diharapkan.

Mulalah kita mengomel sendiri, “Dia tu artis, pakai tudung saji atas kepala pun cantik je.”

Hakikatnya konsepnya tidak begitu. Bentuk muka seseorang memainkan peranan penting untuk mendapakan ilusi tudung yang lebih baik. Contohnya, bentuk muka petak lebih sesuai memakai tudung yang mempunyai awning kerana ia boleh menampakkan wajah kelihatan lebih panjang.

6. Perincian tudung

Orang beranggapan tudung “glam” perlu disertakan dengan manik, labuci, dan lace yang sarat sehingga menampakkannya padat tidak selesa. Cukup tudung yang kosong dan polos sahaja sebenarnya. Namun jika pandai memilihnya, ia pasti menampakkan si pemakai lebih menawan dan kemas.

7. Pemilihan aksesori

gaya tudung pengantin

Aksesori tambahan seperti tiara, veil, dan headpiece banyak menjadi pilihan bagi pengantin perempuan yang bertudung. Ketiga-tiga aksesori ini perlu dipadankan dengan betul biarpun ia sesuai bagi semua jenis hijab sama ada shawl atau bawal.

Ia tidak perlu terlalu sarat kerana akan membuatkan bahagian kepala dan wajah kelihatan serabut. Bagi pemakai tiara pula elakkan mengayakan tiara kecil atau separuh kerana ia tidak sesuai bagi pengantin bertudung. Layah pula haruslah yang berbunga kecil untuk membuatkan bentuk wajah seimbang.

8. Pin tudung

Pin tudung walau kecil tetapi memainkan peranan penting dalam sebuah majlis perkahwinan khususnya bagi pengantin perempuan. Ia boleh menampakkan seorang pengantin itu kemas atau selekeh, sarat atau simple.

Lebih baik untuk anda gantikan kerongsang dengan jarum peniti agar ia kelihatan lebih kemas.

9. Solekan pengantin bertudung

Solekan pengantin bertudung semestinya boleh menyerlahkan keayuan, kelembutan dan keserasian wajah bakal pengantin. KIta boleh meminta atau berbincang kepada jurusolek untuk mendapatkan solekan yang kita inginkan.

Harapnya perkongsian mengenai gaya tudung pengantin ini dapat memberikan bakal pengantin di luar sana informasi yang menarik untuk digunakan dan dikongsikan kepada mereka yang sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Hijab adalah lambang kehormatan bagi setiap wanita Muslim. Oleh yang demikian, hormatilah cara pakainya kerana itu adalah tuntutan agama.

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

1 thought on “9 Tips Penting Dapatkan Gaya Tudung Pengantin Yang Cantik dan Gorgeous Di Hari Perkahwinan”

  1. Pingback: Fesyen Wanita Mudah Berpeluh Pun Ada Caranya, Ini 10 Tips Perlu Buat

Leave a Reply

Scroll to Top