Diet tak nak makan nasi? Cuba ganti dengan ini pula

Di Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain, nasi menjadi salah satu makanan utama atau ruji dalam kehidupan seharian.

Tanpa mengambil nasi, pasti ramai yang berasa ‘tidak lengkap’ dalam diet harian mereka.Kalau kamu mahu tahu, nasi mengandungi jumlah kanji yang tinggi dan tidak sesuai untuk sesetengah orang yang mahu diet.

Sebenarnya tidak salah untuk mengambil nasi ketika diet tetapi kamu perlu mengambil dalam kuantiti yang sepatutnya.

Kalau kamu mahu mencari alternatif yang lain untuk gantikan nasi dalam diet harian, kamu boleh mencuba beberapa jenis makanan ini.

Selain ia rendah dalam kalori, makanan ini juga memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan kamu.

Soba

Menjadi salah satu makanan Jepun yang terkenal, mi soba dimakan dengan light soy dipping sauce dan hanya sayuran segar sahaja.

Mi soba diperbuat daripada tepung gandum dan buckwheat, di mana ia mempunyai indeks glisemik yang rendah dan sesuai untuk mereka yang menjaga bacaan gula dalam darah.

Berbeza dengan spaghetti, mi soba dapat menurunkan jumlah kolestrol dan berfungsi dalam mengurangkan penyerapan kolestrol yang berlaku dalam usus.

Brokoli

Boleh dijadikan sebagai nasi brokoli, sayur ini boleh menjadi salah satu alternatif yang terbaik dalam menggantikan nasi bagi mereka yang mengikuti rancangan diet yang rendah karbohidrat atau kalori.

Mempunyai kandungan yang hampir sama dengan nasi kobis bunga, iaitu setengah cawan brokoli mengandungi hampir 15 kalori dan 2 gram serat.

Selain itu, brokoli juga mengandungi Vitamin C yang bertindak sebagai antioksidan kuat dalam membantu mencegah kerosakan sel dalam badan dan tingkatkan kesihatan imun.

Quinoa

Disebut sebagai “keen-wah”, quinoa ini mempunyai rasa dan tekstur seperti biji-bijian yang bebas daripada gluten dan mempunyai kandungan protein, zat besi dan serat yang sangat tinggi.

Menjadi sumber protein yang lengkap, ini membawa maksud quinoa mengandungi 9 amino acid penting yang diperlukan oleh badan kamu. Dan dalam pada masa yang sama, ia menjadi makanan yang sangat bagus untuk vegetarian.

Ubi Keledek

Sangat popular dalam kalangan rakyat Jepun dan mereka yang tengah diet, ubi keledek ini dapat membantu dalam mengatasi masalah lapar, craving terhadap gula dan menjadi pengganti nasi yang terbaik.

Ubi keledek ini bukan sahaja manis secara semula jadi, malah ia mengandungi serat yang tinggi dan karbohidrat kompleks yang berfungsi dalam menstabilkan gula dalam darah kamu.

Menjadi rahsia kepada umur yang panjang, ubi keledek ini dapat meningkatkan kekebalan diri seorang individu dengan kandungan Vitamin C dan Vitamin A yang kaya dengan kandungan beta-carotene.

Kobis Bunga

Dijadikan sebagai nasi kobis bunga, kamu boleh menghancurkan sayuran ini dalam food processor untuk dijadikan sebagai nasi. Ini kerana kobis bunga boleh menjadi alternatif pengganti nasi yang rendah karbohidrat dan kalori.

Untuk satu hidangan nasi kobis bunga, kamu akan memperolehi jumlah Vitamin C yang mencukupi untuk sepanjang hari.

Dalam pada masa yang sama, kobis bunga ini juga mengandungi Vitamin K yang mencegah dan mengurangkan risiko pembekuan darah.Jika kamu sedang mengikut diet keto, nasi kobis bunga ini boleh menjadi pengganti nasi putih yang paling sesuai.

Roti Gandum

Sesuai untuk mereka yang mahu menggantikan nasi, kebiasaannya roti gandum adalah 100% lebih sihat berbanding dengan roti putih.

Ini kerana roti gandum mempunyai kandungan serat yang tinggi, nilai pemakanan yang tinggi dan kandungan kalori yang rendah.Walaupun kamu ingin mengambil roti gandum dalam diet harian, kamu perlu berhati-hati dalam jumlah pemakanannya.

Kalau kamu mahu tahu, dua keping roti gandum mempunyai nilai kalori yang sama dengan setengah cawan nasi putih.

Selain rendah dalam jumlah kalori, makanan-makanan ini sesuai untuk kamu yang ingin menjalani diet dan menggantikan nasi dalam diet harian.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart