Kerajaan Umum Cuti 18 dan 19 November Sebagai Hari Pelepasan Am, Tol Percuma Selama 2 Hari

Kehangatan PRU15 semakin tiba pada fasa kemuncaknya. Sedar tidak sedar hanya tinggal kira-kira 4 hari lagi untuk kita semua rakyat Malaysia keluar mengundi di lokasi pusat mengundi masing-masing. Bagi memastikan setiap orang diberikan peluang untuk mengundi, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan cuti 18 dan 19 November sebagai Hari Pelesapan Am.

Rasmi PM umum cuti 18 dan 19 November

cuti 18 dan 19 november

Kerajaan telah menetapkan cuti 18 dan 19 November ini (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi melancarkan urusan semua rakyat Malaysia khususnya pengundi dalam menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hal ini telah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau yang hadir untuk merasmikan pecah tanah Wisma Cuepacs di Putrajaya, mengumumkan hari kelepasan Am selama dua hari itu diambil oleh kerana berkemungkinan sesetengah syarikat swasta beroperasi pada hari Sabtu juga.

“Hari mengundi PRU-15 menjelang tiba. Sukacita saya umumkan kerajaan menetapkan Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini, sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia mengundi,” katanya.

Tol percuma untuk semua selama 2 hari

Dalam masa yang sama juga untuk memudahkan semua pengundi balik, sebanyak 30 konsesi lebuh raya yang melibatkan Kementerian Kerja Raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari.

“Tol percuma tersebut bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November. Ini turut melibatkan semua jenis kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan kira-kira 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya lagi.

Segala inisiatif yang diberikan oleh kerajaan ini tidak lain tidak bukan untuk meringankan sedikit sebanyak beban kewangan khususnya warganegara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap 5 tahun sekali.

Proses undi awal sudah bermula hari ini, seawal 8 pagi

cuti 18 dan 19 november

Seperti yang sudah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari mengundi awal ditetapkan pada 15 November 2022 (Selasa). Dilaporkan sebanyak 578 buah pusat pengundian awal di seluruh negara membabitkan 970 saluran.

Pusat pengundian awal ini turut melibatkan Ibu Pejabat Polis (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera.

Kesemua pusat mengundi ini dibuka seawal 8 pagi bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Dari rekod Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), seramai 224,828 anggota keselematan termasuklah pasangan akan melaksanakan undi awal iaitu 117,473 anggota tentera dan pasangan, manakala seramai 107,355 selebihnya adalah anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangannya.

Bagi anda yang mengundi 19 November ini, pastikan anda sudah siapkan segala keperluan yang perlu disiapkan. Semak juga tempat mengundi yang telah ditetapkan oleh pihak SPR di laman rasmi mereka. Rancang perjalanan pulang anda dengan sebaik mungkin dan hati-hati di jalan raya.


Artikel Berkaitan

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart