2 Cara Buat Kuih Bakul Halal Homemade Paling Lazat, Rahsia Kukus 8 Jam Dengan Daun Pisang

Perayaan Tahun Baru Cina bakal tiba tidak lama lagi. Keunikan dan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia menjadikan kita semua sudah saling mengenali serba sedikit tentang budaya dan adat setiap bangsa. Apa kata, kali ini jom kita kenal kuih perayaan yang sangat popular bila tiba Tahun Baru Cina dan cara buat kuih bakul homemade paling mudah.

Sejarah kuih bakul simbolik Tahun Baru Cina

Salah satu kuih tradisional kaum Cina yang dikenali ramai adalah kuih bakul atau juga dipanggil sebagai ‘nian gao’ dalam Bahasa Mandarin.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, kuih bakul ini membawa tuah kepada si pemakan pada hari perayaan ini kerana perkataan ‘nian gao’ itu sendiri membawa maksud “makin tahun makin tinggi”.

Apa yang pasti banyak pantang larangnya untuk membuat kuih bakul ini dan proses mengukus kuih bakul juga mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 8 jam.

Cara buat kuih bakul halal menggunakan bahan di rumah

Cara buat kuih bakul sebenarnya tidaklah begitu susah. Hanya sahaja, masa yang diambil untuk membuatnya agak lama bagi memberi hasil tekstur yang menarik, kenyal, dan lebih sedap. Bahan yang digunakan hampir serupa dengan dodol tetapi sedikit berbeza.

Bahan-bahannya:

  • 500 gm tepung pulut (sebungkus)
  • 190 gm gula pasir
  • 400 gm gula merah
  • 500 ml air
  • Santan 200 ml
  • Beberapa helai daun pisang

Cara-cara membuatnya:

  1. Masukkan gula pasir dan gula merah serta air ke dalam periuk. Kacau sehingga larut dan biarkan ia sejuk.
  2. Dalam masa yang sama, sediakan tepung pulut ke dalam mangkuk.
  3. Tuangkan larutan gula dan santan tadi ke dalam tepung pulut dan kacau sehingga sebati.
  4. Masukkan adunan tepung pulut yang telah sebati itu ke dalam kuali dan kacau sehingga adunan menjadi likat.
  5. Kemudian, alas tin dengan daun pisang, dan pastikan ia melebihi bahagian atas tin. Ini bagi memastikan kita mudah untuk mengikatnya di sekeliling (daun pisang dikelepetkan ke bawah).
  6. Didihkan air dan kecilkan api.
  7. Tuangkan adunan ke dalam tin.
  8. Kukuskan ia selama 8 jam. Pastikan air yang ditambah ke dalam pengukus adalah air mendidih. Penutup kukus hendaklah dibungkus dengan beberapa lapisan kain muslim / kain kasa / pembalut aluminium aga rwap air tidak menitik ke atas kuih.
  9. Kuih bakul halal cara homemade siap untuk dihidangkan!

cara buat kuih bakul

cara buat kuih bakul

cara buat kuih bakul

Cara buat kuih bakul halal goreng popular di “Penang”

Tadi kita sudah kongsikan bagaimana cara buat kuih bakul homemade dengan menggunakan bahan-bahan dari dapur sahajakan. Baik, kali ini kami hendak kongsikan satu lagi resepi berkaitan kuih bakul juga yang sangat popular iaitu kuih bakul goreng.

Selain kuih bakul boleh dimakan begitu sahaja, ia juga sedap digoreng bersama ubi keladi atau ubi keledek tau! Teksturnya yang ranggup di luar dan lembut, kenyal, dan cair di dalam memang memukau selera.

Bahan-bahannya:

  • Ubi keladi secukupnya (dipotong nipis)
  • Kuih bakul dipotong empat segi
  • Minyak secukupnya untuk mengoreng

Bahan untuk adunan:

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 cawan air

Cara-cara membuatannya:

  1. Ubi keladi dipotong dan disusun dengan kepingan kuih bakul seperti sandwich. Kuih bakul ini lebih baik untuk disimpan semalaman dalam peti sejuk terlebih dahulu agar mudah dan kemas untuk dipotong nanti.
  2. Untuk adunan pula, campurkan kesemua bahan adunan dan gaul sehingga sebati. Kemudian selepas larut dan sebati ketepikan ia sekejap.
  3. Panaskan minyak dalam kuali, celupkan kepingan kuih tadi ke dalam adunan dan gorengkannya biar tenggelam dan masak hingga keperengan. Balikkan kedua-dua belah untuk masak dengan sempurna.
  4. Kuih bakul goreng siap untuk dihidangkan!
  5. Ubi keladi boleh juga diganti dengan ubi keledek jika anda mahu.

Semoga perkongsian mengenai cara buat kuih bakul homemade ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan berguna untuk dijadikan makanan ringan bersama keluarga.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top