Buat pembedahan potong usus demi nak kurus dan cantik, Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Tubuh yang langsing tentunya menjadi idaman ramai wanita. Namun untuk mengekalkan berat badan yang ideal tetapi dalam masa yang sama gagal mengawal selera makan tentunya akan membuatkan usaha untuk menurunkan berat badan menemui kegagalan.

Salah satu alternatif yang cukup popular untuk menurunkan berat badan dengan cepat ialah dengan memotong usus. Teknik ini dikatakan mampu membuatkan seseorang itu mendapat bentuk tubuh yang diinginkan.

Walau bagaimanapun bagaimana pula daripada sudut agama? Adakah cara ini dibolehkan atau tidak.

Berikut perkongsian yang dipetik dari Instagram Ustaz Azhar Idrus.

POTONG USUS UNTUK KECANTIKAN

Apakah hukumnya di sisi syarak orang yang berbadan berisi membuat pembedahan membuang usus supaya badannya jadi kurus agar cantik dilihat? Ramai kaum wanita di negara barat telah melakukan pembedahan seperti ini.

Hukum membuang atau memotong mana-mana bahagian tubuh samada bagian luar tubuh atau bahagian dalam tubuh adalah pada asalnya diharamkan melainkan dua sebab :

Pertama: Ia disuruh oleh syarak seperti memotong kuku atau rambut atau tempat khitan atau seumpamanya. Maka memotong atau membuang barang yang disuruh syarak tiadalah termasuk dalam perbuatan yang dilarang.

Kedua: Kerana berubat yakni bertujuan menolak mudarat yang ada pada seorang seperti penyakit seperti memotong jari akibat penyakit kencing manis atau membuang buah pinggang yang rosak atau seumpamanya. Maka membuang anggoota badan seperti ini tidaklah dilarang kerana masuk dalam katogeri berubat.

Dan yang datang nas melarang membuangnya adakalanya haram seperti mencukur buku kening atau mengikir gigi dan adakalanya makruh seperti mencukur janggut atau mencukur bulu betis bagi lelaki.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. Rasulullah saw bersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّه

Artinya : Allah telah melaknat akan sekelian orang yang membuat tattoo dan yang meminta ditatookan dan yang mencukur bulu kening dan yang meminta dicukurkan bulu kening dan yang menjarangkan giginya kerana mencantikkan diri yang mengubah mereka itu akan kejadian Allah.” (Hadith Imam Muslim)

Berkata Imam Nawawi:

وأما قوله : ( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن ، وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن

Artinya : “Dan ada pun sabdanya ‘yang menjarangkan gigi kerana mencantikkan’ itu maka maknanya mereka melakukannya akan yang demikian itu kerana hendak jadi cantik.’ (Kitab Syarah Muslim)

KESIMPULAN

Hukum menjalani pembedahan membuang atau memotong usus itu harus jika kerana merawat penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi atau kegemukkan yang boleh memudaratkan nyawa atau kesihatan atau lainnya.

Pembedahan membuang usus atas dasar kecantikan diri samada oleh lelaki atau perempuan adalah haram dan dilaknat kerana mengubah ciptaan Allah. wallahua’lam.

Maka dapat difahami bahawa melakukan pembedahan sama ada pada anggota zahir seperti muka atau tangan atau kaki atau lainnya atau anggota batin seperti jantung atau buah pinggang atau perut atau seumpamanya sebab merawat penyakit maka hukumnya adalah harus dan jika sebab kecantikan maka hukumnya adalah haram.

Jelas disini bahawa mengubah kejadian dengan membuat pembedahan membuang atau memotong usus supaya badan jadi kurus untuk kelihatan cantik adalah haram dan dosa besar.

Yang diharuskan menjalani pembedahan membuang usus itu ialah kerana berubat seperti merawat penyakit kencing manis atau darah tinggi misalnya maka hukum membuang usus ketika ini adalah harus kerana berubat itu ialah sebab hendak menolak mudarat dan menolak mudarat itu disuruh oleh syarak.

Berkata Imam Nawawi :

، أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم

Ertinya : “Ada pun jikalau berhajat kepadanya kerana berubat atau sebab aib pada gigi atau seumpamanya maka tidak mengapa.” (Kitab Syarah Muslim)Kebanyakkan orang-orang yang melakukan perbuatan yang haram ini ialah kerana jahil dengan hukum agama dan terikut-ikut dengan orang lagi menurut akan hawa nafsu.

Majlis Fiqah Islam dalam satu muktamar yang diadakan pada tahun 2007 telah memutuskan:

(لا يجوز إجراء جراحة التجميل التحسينية التي لا تدخل في العلاج الطبي ويُقصد منها تغيير خلقة الإنسان السويّة؛ تبعا للهوى والرغبات بالتقليد للآخرين ، مثل عمليات تغيير شكل الوجه للظهور بمظهر معين، أو بقصد التدليس وتضليل العدالة ، وتغيير شكل الأنف، وتكبير أو تصغير الشفاه، وتغيير شكل العينين وتكبير الوجنات) .

Ertinya : “Tiada harus melakukan pembedahan mencantikkan yang bukan termasuk dalam rawatan perubatan yang bertujuan mengubah kejadian asal manusia kerana mengikut keinginan dan ingin mengikut orang lain seumpama mengubah bentuk wajah supaya tampil dengan wajah yang tertentu atau bertujuan melakukan penyamaran sehingga hilang yang benar dan mengubah bentuk hidung dan membesarkan atau mengecilkan bibir dan mengubah bentuk mata dan mengubah bentuk pipi.”

Sumber kredit: Instagram Ustaz Azhar Idrus 

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart