Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Perjuangan 24 Tahun Bapa Reformasi Berakhir Di Putrajaya

Empat hari selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU15) merakamkan detik penuh bersejarah bagi rakyat Malaysia bila mana akhirnya Kerusi Perdana Menteri telah diumumkan sendiri oleh Istana Negara. Anwar Ibrahim Perdana Menteri Ke-10 itulah yang sedang heboh sejak semalam lagi di media sosial dan dada-dada akhbar.

Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Anwar Ibrahim Perdana Menteri Ke-10

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan  melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Ke-10. Keputusan ini dibuat selepas Al-Sultan Abdullah  memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, tujuan perbincangan khas Raja-Raja Melayu itu adalah untuk mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Al-Sultan Abdullah membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Justeru pelantikan ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah menamatkan kemelut politik

anwar ibrahim perdana menteri

Pada pukul 5 petang semalam juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10. Ini sekaligus menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca PRU15 selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah itu telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan disaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

anwar ibrahim perdana menteri

Turut sama hadir di istiadat berkenaan iaitu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Biodata Perdana Menteri Ke-10

anwar ibrahim perdana menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anak jati Bukit Merajam Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Seterusnya mendapat pengajian menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966. Kemudian, pada tahun 1967, beliau melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya dalam pengajian Melayu (Sastera).

Diberikan jolokan sebagai “anak didik” Tun Dr Mahathir Mohamad dulunya, beliau jelas mempamerkan sisi pengkiritik yang lantang bersuara kepada Tun. Masa remajanya, beliau sudah menunjukkan ketokohan dan kepimpinan yang sebati sehingga menjadi presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1968 hingga 1971.

anwar ibrahim perdana menteri

Dan pengasas bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Kerana kelantangan beliau juga, beliau pernah dipenjara di Kamunting, Perak selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974 selepas mengetuai demostrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kelaparan di kawasan luar bandar.

Karier sebagai ahli politik beliau mula bersinar selepas menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diketuai Tun Mahathir selaku Perdana Menteri sejak 1981. Satu demi satu jawatan berjaya disandang sehingga menjadikan beliau akhirnya orang kedua terpenting dalam negara.

anwar ibrahim perdana menteri

September 1998 melakar sejarah kepada peristiwa yang mendorong kelahiran gerakan Reformasi di ibu kota dan seluruh negara selepas Anwar Ibrahim dilucutkan dari  jawatan Timbalan Perdana Menteri. Keluar masuk tirai besi sesekali tidak mengugat perjuangannya dalam pentas politik.

Akhirnya beliau menerima pengampunan diraja dari Sultan Muhammad V, selepas dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018, ketika PH menang PRU14 pada 9 Mei 2018. Pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini sangat luas sehingga ke peringkat internasional. Beliau juga pernah dinamakan antara 100 individu terpenting di dunia oleh Majalah Times pada 2008.

anwar ibrahim perdana menteri

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Ke-10 atas pelantikan itu. Diharapkan dengan pelantikan ini membawa pembaharuan, kemakmuran, dan kebaikan bagi masyarakat semua. Sebagai rakyat Malaysia pula, jagalah hubungan sesama kita ini seerat-eratnya kerana kita berpijak di tanah yang berdaulat dan dipayungi sebuah negara berperlembagaan. Jangan kerana berbeza pendapat sesama kita berpecah belah antara satu sama lain. Sayangi dan hormati berbezaan agar kita makmur dan sentosa sentiasa.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top