Rahsia 30 hari nak cantik sebelum majlis perkahwinan

Cantik di hari perkahwinan tidak sepatutnya hanya bermula di kerusi solek. Anda seharusnya mulakan sekarang untuk memastikan rupa anda di majlis adalah yang paling sempurna.

Rata-rata bakal pengantin semuanya cuma menyerahkan kepada jurusolek untuk mencantikkan wajah mereka. Namun sebenarnya kecantikan yang sempurna adalah yang terpancar dari dalam.

Untuk cantik dari dalam anda memerlukan lebih masa yakni anda perlu menjaga pemakanan, minum banyak air, senaman, penjagaan kulit dan sebagainya seawal yang mungkin. Jadi untuk menjadi lebih realistik anda boleh lakukan ia dalam masa 30 hari sebelum menjelang hari bahagia.

Empat minggu sebelum

Waktu ini cuba bernafas dengan tenang dan rangka kembali rutin cantik anda. Ingat penjagaan ekstra itu penting, jaga kulit, ambil pemakanan sihat dan rajin bersenam.

APA YANG PATUT DILAKUKAN

1. Dalam sebulan apa yang anda boleh lakukan adalah pergi berjumpa dengan pakar dermatologi, periksa kulit dan rambut agar ia sentiasa dalam keadaan yang sihat. Jika anda sedang bergelut dengan masalah jerawat, ambil ubatan yang perlu yakni dari segi oral ataupun krim jerawat. Cara ini lebih berkesan berbanding terus ke rawatan wajah di spa, kerana kemungkinan besar masalah jerawat akan menjadi lebih teruk.


2. Kunjungi spa atau salon rambut untuk membuat rawatan yang lebih terperinci seperti rambut kering tidak bermaya, lingkaran gelap atau sembab dibawah mata, selulit atau tumit berkerak. Tuliskan senarai cantik yang harus di kecapi menurut pakar kecantikan yang berkhidmat.

3. Jika kulit anda sensitif inilah masa yang sesuai untuk mencuba segala macam produk terlebih dahulu sebelum anda disolekkan. Jika sebarang alergi timbul setidaknya anda sempat merawatnya dan mengelakkan produk tersebut ketika disolek nanti.

4. Sesudah kulit dikenal pasti masalahnya, jadi amalkan penjagaan asas yang sempurna seperti mencuci, menyegar dan melembap.

5. Bahagian yang boleh dipanggil ‘underdog’ yakni bahagian tangan, bahagian ini selalu diambil mudah sedangkan waktu perkahwinanlah tangan dan jari-jemari memainkan peranan penting. Jari akan disarung cincin maka seluruh tumpuan adalah di situ. Pergi ke salon dan dapatkan rawatan kuku tangan dan kaki secara konsisten, ya kaki juga perlu! Jangan malas atau lokek untuk lakukan bahagian kaki kerana berbalik pada fokus kita tadi mesti cantik dari hujung kepala hingga hujung kaki. Selepas mendapatkan rawatan, amalkan penjagaan terperinci di rumah seperti mengoles losen dan sebagainya. Lakukan rawatan ini sekali setiap minggu hinggalah minggu yang terakhir.

6. Mulai cari rujukan anda untuk solekan nanti, agar anda boleh berunding dengan jurusolek. Ingat! Semua solekan atau look yang anda lihat di internet tidak semuanya sesuai dengan anda jadi eloklah dibawa berbincang bersama jurusolek.

7. Ini juga masa yang tepat untuk anda jaga berat badan anda di saat-saat akhir. Buat temu janji bersama pakar diet anda mungkin boleh mengurangkan 5-6 kg dalam masa sebulan.

8. Amalkan berjalan di waktu pagi dan tidur yang cukup setiap malam. Lakukan yoga atau aerobik jika mempunyai masa.

9. Cuba singkirkan bulu satu badan dengan kaedah waxing untuk memastikan anda sesuai dengan kaedah tersebut. Jika tidak serasi anda boleh cuba bleaching atau gunakan kaedah pembuangan bulu dengan krim.

Tiga minggu sebelum
Waktu ini, membeli-belah hanyalah untuk barangan yang ‘fun’ seperti membeli pakaian dalam yang seksi dan tidak lupa rawatan wajah yang konsisten.

APA YANG PATUT DILAKUKAN

1. Kekalkan wajah yang berseri dengan rawatan wajah dan urutan badan setiap minggu di spa. Jangan cuba apa-apa rawatan atau kosmetik baru di peringkat ini. Cuma kekalkan apa yang anda sudah biasa dengan jenama yang anda yakin dan selesa.

2. Pelan satu sesi bersama jurusolek atau penggaya rambut untuk menentukan final look anda nanti. Panggil rakan-rakan atau saudara rapat untuk dapatkan pendapat positif.

3. Elakkan makanan ringan dan minuman berkarbonat, lebihkan pengambilan jus sayuran dan air kosong.

4. Anda mungkin tidak boleh mengelak keluar dari rumah, walaupun sebenarnya lebih elok menghabiskan waktu dengan berehat dan memanjakan diri. Jadi apabila keluar, oleskan krim tabir suria dan pakai topi.

5. Pasti ada sebab Cleopatra mengamalkan mandian susu, jadi lumurkan susu pada badan dan urut perlahan-lahan pada kulit selepas mandi selama 15 minit. Bilas dan keringkan badan. Anda akan lihat hasilnya selepas beberapa minggu.

Dua minggu sebelum

Waktu yang semakin hampir kepada tarikh majlis ini, adalah waktu yang anda sepatutnya betul-betul berjaga. Bukan sahaja dari segi kecantikan kulit, malah dari sudut kesihatan dan berat badan teramatlah penting.

APA YANG PATUT DILAKUKAN

1 . Disiplinkan diri memakai produk yang terbaik untuk kulit anda agar kekal mulus dan mengelakkan anasir-anasir seperti jerawat, jeragat, kurap atau panau mene,pel diatas kulit anda.

2. Kerap minum air kosong dan elakkan mengambil minuman manis. Kalau boleh elakkan terus pengambilan. Hasilnya…pasti buat anda teruja.

3. Elakkan pengambilan makanan berminyak, berlemak, manis dan makanan segera. Ingat, makanan dari kumpulan ini mampu menyumbang kenaikan berat badan dan tahap kolesterol. Jangan sampai anda tak muat nak pakai pakaian persandingan, sudah lah!.

4. Waktu ini adalah sesuai untuk anda mendapatkan rawatan wajah di spa dan klinik astetik. Jangan buat pada waktu suntuk, kerana anda tidak mampu melihat hasil rawatan dalam masa yang pendek.

5. Jangan sebarangan mengambil produk kurus tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Nanti tak pasal-pasal anda terpaksa bersanding gidalam hospital.

Minggu terakhir

Ini adalah minggu yang paling genting. Jika anda baru memulakan langkah-langkah diatas pada minggu ini maka anda telah rugi. Ini kerana, anda sukar melihatkan hasil dari usaha dalam masa yang singkat.

APA YANG PATUT DILAKUKAN

1. Pastikan anda telah lakukan rawatan kuku untuk minggu terakhir.

2. Trim bulu kening atau anda boleh meminta jurusolek anda untuk melakukannya.

3. Gunakan span setiap kali anda mandi, ia akan menanggalkan sel-sel kulit mati agar kulit tampil berseri di malam pertama. Jangan lupa bahagian leher!

4. Minum ekstra dua gelas air bagi memastikan kulit anda tampil lembap dan sempurna.

5. Kekalkan ketenangan mental waktu ini, lakukan meditasi selama 10 minit setiap hari.

6. Lakukan waxing atau bleaching. Ia amat penting untuk keyakinan
anda.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart