5 idea jenis hantaran berasaskan makanan yang lain dari lain

Hantaran adalah perkara lazim yang perlu disertakan dalam sesebuah majlis pertunangan atau perkahwinan. Sebagai pasangan mempelai yang bakal disatukan, adakalanya kita jadi pening apabila hendak memikirkan apakah hantaran bersesuaian, betul tak?

Mana hendak fikirkan keperluan-keperluan lain yang lebih penting seperti persalinan pengantin, dewan, katering dan lain-lain. Untuk bantu anda supaya tidak terus pening kepala memikirkan benda-benda remeh sebegini, kami kongsikan idea makanan yang tidak klise untuk dijadikan hantaran.

1) Swiss Roll Batik

Bosan asyik tengok orang tayang kek atas hantaran kan? Sudahlah susah nak menjaganya supaya tak runtuh atau tidak cair hiasan gula dan sebagainya. Jadi jika masih hendak beri kek sebagai hantaran, gantikan dengan swiss roll yang cantik dihiasi cetakan batik ni. 

Mana nak beli? Cari sahaja di Instagram. Memang berlambak penjaja kek yang menerima tempahan untuk membuat Swiss Roll bermotifkan batik ini.

2) Madu Bersarang

Orang dahulu tak mampu hendak memberi madu sebagai hantaran kerana harganya boleh dikatakan mahal. Tetapi untuk masyarakat moden hari ini, sudah banyak penjaja yang menjual variasi madu dan dijual pada harga mampu milik.

Jika perkahwinan anda berkonsepkan Islamik, apa salahnya memberikan madu sebagai hantaran. Asyik jadikan buah sebagai hantaran jadi apa kata kali ini berikan madu pula. Untung-untung, madu ini kan salah satu makanan sunnah Rasullullah s.a.w. Cari jenis madu yang memiliki sarang (honeycomb), pasti lagi manis dijadikan hantaran.

3) Teh

Romantisnya bila teh dijadikan hantaran. Teh juga boleh dijadikan hantaran mewah kerana aroma dan kualiti teh dari beberapa jenama seperti Dilmah atau TWG umumnya sangat berkelas untuk dijadikan pemberian istimewa buat yang tersayang. Buat masa ini kami belum pernah lagi melihat orang kirimkan teh sebagai sebahagian hantaran berbentuk makanan dan minuman.

4) Puding Raja

Kalau anda orang Pahang, pasti kenal dengan manisan mewah yang dahulunya hanya boleh dinikmati oleh penghuni istana sahaja.

Puding Raja adalah merupakan manisan berkuah mewah yang sangat popular kerana proses membuatnya sangat rumit terutamanya bagi penyediaan jala emas. Daripada bagi puding biasa atau makanan biasa-biasa seperti halwa, boleh cuba kirimkan Puding Raja ini buat si cinta hati menerusi gubahan hantaran.

5) Bijirin Granola

Anda atau pasangan adalah individu yang obses menjaga kesihatan atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Fitness Enthusiast? Daripada memberi makanan ringan berbentuk coklat atau gula-gula, apa kata buat hantaran kelihatan lebih mahal dengan snek berbentuk granola ini.

Berasaskan bijirin dan kekecang berperisa, biasanya penjaja sudah membungkuskan granola dalam kotak dan pembungkusan yang cantik. Jadi tak perlu sudah-susah memikirkan cara menghias gubahan hantaran makanan yang diletakan granola ini nanti.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top