21 contoh ucapan selamat pengantin baru yang mampu buat pengantin teruja

Ikatan yang terbina akan mengubah haluan hidup sang pengantin. Dengan perasaan bercampur baur, teruja, sedih dan syukur adakalanya agak sukar untuk memberikan ucapan terbaik buat bakal pengantin yang mahu membina masjid.


Namun begitu, tiada format atau skema yang khas dalam memberikan ucapan. Perkara terpenting ialah mesej yang diucapkan mestilah datang setulus ikhlas dari hati.


Untuk membantu anda yang masih lagi tercari-cari ucapan yang terbaik buat kenalan anda, kami kongsikan 21 idea ucapan yang boleh mencetuskan inspirasi untuk diucapkan terus atau ditulis dalam kad ucapan perkahwinan. Yang pastinya ia akan menjadi memori terindah buat raja sehari.

Ucapan Selamat Pengantin Baru Islamik

Perkahwinan yang dimeterai semestinya bermatlamat untuk mendapatkan redha Allah SWT. Ucapan yang baik akan memberikan semangat buat bakal pengantin melangkah ke alam rumah tangga.


Agama Islam juga menganjurkan umatnya untuk meraikan pengantin baru. Jadi, ucapan yang Islamik ini sangat bersesuaian diucapkan kerana secara tidak langsung akan menjadi satu bentuk doa buat pengantin.

  1. “Assalamualaikum pengantin baru, semoga Allah SWT mengikat cinta kalian seperti utuhnya cinta Adam dan Hawa yang datang dari syurga. Kami doakan agar perkahwinan ini menjadi medan bertambahnya iman serta taqwa dalam diri kalian. Semoga zuriat yang bakal lahir menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, Amiin.”

2. “Alhamdulillah. Syukur segalanya telah berlangsung dengan baik. Selamat Pengantin Baru! Semoga kebahagiaan milik kalian hingga ke Jannahtul Firdaus. InsyaAllah, dapat membina keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Mudah-mudahan bertambah rezeki kalian dengan ikatan suci ini. ”

3. “Cinta sesama manusia kerana Allah akan menuju syurga nan indah. Semoga ikatan perkahwinan yang terbina diredhai dan membawa 1001 kebaikan di dunia dan akhirat. Bawalah cinta ini mencari redha Allah agar pertalian ini kekal abadi selamanya.”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Yang Formal

Selalunya ucapan formal ditujukan untuk menunjukkan watak yang baru digalas dalam rumahtangga ini adalah sesuatu yang serius. Institusi perkahwinan memainkan peranan penting bagi melahirkan insan yang berkualiti.


Anak yang bakal dilahirkan merupakan refleksi dari diri ibu dan bapa. Jadi ucapan-ucapan yang diucapkan membawa erti yang sangat mendalam untuk dihayati dalam perkahwinan. Tidak perlu ucapan yang panjang. Cukup memberikan ucapan yang ringkas namun padat isinya untuk diterjemah.

4. “Selamat Pengantin Baru! Semoga berbahagia dengan kehidupan baru.”

5. “Semoga ikatan cinta yang terbina berkekalan buat kalian. Selamat Pengantin Baru buat mempelai.”

6. “Semoga rumahtangga yang didirikan menjadi tunggak kebahagiaan hingga akhir hayat. Selamat Pengantin Baru!”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Yang Lucu / Lawak

Untuk tampil lebih bersahaja, penggunaan seloroh dalam ucapan akan membuatkan si pengantin tertawa semasa membaca atau mendengarnya.
Ia akan membuatkan perkahwinan yang baru dibina menjadi lebih warna-warni dengan kata-kata yang lucu dari ahli keluarga atau rakan ini.

Pengantin baru pasti tidak sabar untuk menerokai kehidupan yang baru. Yang pastinya pasangan pengantin baru tidak akan kering gusi dengan ucapan seperti ini.

7. “Selamat Pengantin Baru Sahabat! Akhirnya Romeo dan Juliet kahwin juga ya! Lama dah tunggu nasi minyak dari kalian, nasib baik tak kempunan! Jaga pasangan elok-elok. Lepas ni dah jangan buat perangai gila-gila macam bercinta dulu dah okay!”

8. “Orang kata cinta itu buta. Dah kahwin ni jangan nak buta lagi ya! Haha… Manakan tidak, pujaan hati dah jadi milik kamu selamanya. Selamat Bercinta hingga syurga!”

9. “Nak berpantun sikit untuk pengantin baru. Dengar ya! Cantik manis berbaju biru, Selamat Pengantin Baru! Jangan nakal-nakal lagi dah kahwin tau! Habislah tinggal aku sorang yang bujang, doakan aku bertemu jodoh juga!”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Untuk Menantu

Semua pasangan menginginkan ikatan yang terjalin ini berkekalan. Jadi, ucapan ini sangat istimewa kerana ucapan penuh makna ini ditujukan khas oleh ahli keluarga yang baru. Kaum wanita yang baru bergelar menantu terutamanya pasti menggeruni ibu mertua mereka. Sebabnya terdapat banyak desas desus didengari berkaitan masalah mertua vs menantu ini.


Justeru itu, ucapan ini sedikit sebanyak akan meredakan sedikit rasa bimbang akibat momokkan orang ramai tentang masalah dengan mertua. Bagi pihak mertua pula, ucapan pada menantu sangat penting bagi mengurangkan rasa kekok pada awal hubungan perkahwinan ini.

10. “Selamat pengantin baru buat anak dan menantuku. Semoga rumahtangga kalian sentiasa dalam redha Allah SWT. Terima Kasih kerana memilih anak ibu dan ayah sebagai pasangan hidup kamu. Jagalah makan, minum dan pakaian pasangan dengan baik. Tak lupa juga semoga bertambah ahli keluarga kita dengan cucu-cucu yang baru. Ibu ayah merestui hubungan kalian dengan harapan keluarga kita akan lebih ramai dan bahagia.”

11. “Selamat mendirikan rumahtangga untuk anak dan menantu abah dan mama. Kami berharap agar kamu berdua saling mencintai dan membahagiakan satu sama lain. Rumahtangga yang dibina perlu diterajui bersama. Mainkan tanggungjawab masing-masing sesempurna yang mungkin. Buat suami, dalam tegas ada lembutnya. Buat perempuan pula, dalam lembut ada cintanya yang sangat tulus buat suami. Semoga jodoh kalian berkekalan sampai hujung nyawa.”

12. “Selamat pengantin baru buat menantuku. Mak dan ayah doakan kebahagiaan yang abadi untuk anak dan menantu kami. Besar harapan kami agar ikatan yang terbina akan membawa rahmat dalam keluarga kita. Mak dan ayah sentiasa mahukan kalian bahagia. Dalam perkahwinan, perlukan kesabaran kerana sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Pasti ada pasang dan surutnya. Binalah keluarga dengan baik agar rahmat Allah SWT sentiasa bersama kalian, InsyaAllah.”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Untuk Adik Ipar/ Kakak Ipar/ Abang Ipar

Ucapan untuk ipar duai akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Boleh diberikan ucapan pendek mahupun panjang. Kebiasaannya, ucapan tidak terlalu mesra atau sensitif agar tidak mendatangkan apa-apa kekeliruan tentang hubungan antara ipar.

13. “Selamat Pengantin Baru! Selamat bercinta bersama suami/ isteri tersayang. Semoga keluarga kita akan bertambah ramai. Good luck!”

14. “Tahniah! Semoga perkahwinan kalian berkekalan dan diberkati. Kami doakan agar sentiasa dalam kebahagiaan bersama insan tersayang.”

15. “Selamat datang ke alam perkahwinan dan keluarga kami! Semoga cinta kamu berdua kekal abadi selamanya. Bersama-samalah kita bersatu hati dalam keluarga besar kita agar perkahwinan ini membawa rahmat dalam keluarga hendaknya.”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Untuk Kawan

Orang yang paling teruja selain daripada ahli keluarga apabila menerima kad kahwin adalah sahabat handai. Berduyun-duyun ucapan tahniah diterima beserta ketidaksabaran mereka untuk menyaksikan sahabat mereka bersanding.


Sudah pastinya kedatangan mereka akan disertakan bersama ucapan samada dalam bentuk kad ataupun secara lisan. Ucapan-ucapan yang beserta usikan ini akan menambah lagi keseronokan sang mempelai di hari bahagia mereka.

16. “Selamat Pengantin Baru! Semoga cinta suci kalian ini abadi hingga ke akhir hayat. Jagalah pasangan sebaiknya. Cepat-cepat dapat baby tau! Tak sabar nak jadi aunty ni.”

17. “Tahniah sahabat! Finally, kahwin juga dengan pujaan hati kau ya! Semoga perkahwinan ini membawa ke syurga. Jangan lupa aku lepas kahwin nanti! Yela orang tu dah ada teman sebantal. Kita ni solo lagi. Good luck dengan life baru ya!”

18. “Selamat menempuh alam perkahwinan. Selamat bercinta sampai syurga. Dulu kau kata tak nak kahwin. Tapi sekarang kau yang naik pelamin dulu! Satu pesanan aku, perkahwinan ini bukan hanya menunggu kebahagiaan tetapi ciptalah bahagia sendiri. Good luck sahabat!”

Ucapan Selamat Pengantin Baru Untuk Rakan Pejabat

Ada di kalangan rakan sepejabat yang rapat dan ada juga yang tidak. Namun, sudah pasti semuanya akan dijemput hadir untuk memeriahkan majlis perkahwinan. Sebagai rakan sekerja, ucapan ini seringkali ditunggu-tungu. Lebih-lebih lagi dari rakan yang sudah lama berkahwin dengan harapan dapat sedikit nasihat dan pandangan.

19. “Selamat Pengantin Baru! Semoga kebahagiaan milik kalian! Perkahwinan ini akan memberikan sejuta kebaikan bila kita mencari baiknya. Ciptalah kebahagiaan sebanyaknya.”

20. “Semoga segala hajat dalam perkahwinan akan tercapai! Semoga sentiasa murah rezeki dan Selamat Pengantin Baru! Mudah-mudahan perkahwinan ini menjadi pentas untuk tambah ilmu dan amal.”

21. “Selamat Pengantin Baru! Semoga kebahagiaan terus dirasai sampai syurga! Coretlah kebahagiaan sebanyaknya agar cinta ini abadi selama-lamanya. ”


Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart