10 jenis bunga paling cantik untuk bunga tangan si ratu sehari

Bunga merupakan simbol yang begitu sinonim dengan wanita apatah lagi apabila berbicara mengenai bab perkahwinan. Daripada persiapan pertunangan, masuk kepada hari pernikahan dan seterusnya persandingan tentunya peranan bunga yang disuai padan merupakan antara elemen yang terpenting.

Menariknya pada kali ini, kami ingin berkongsi tips untuk memilih bunga tangan buat bakal-bakal pengantin perempuan di luar sana bersesuian bukan sahaja mengikut tema perkahwinan tetapi juga padan dengan personaliti diri masing-masing. Ini kerana bunga tangan merupakan hiasan tambahan yang mampu menyempurnakan lagi keterampilan dan pesona pengantin perempuan.

Pelbagai variasi jenis bunga dan warna mestilah digandingkan dengan betul kerana ia dapat menyerlahkan lagi seri pengantin selain menjadi simbol peribadi yang akan dikenang sampai bila-bila.


Buat pengantin perempuan terutamanya bagi mereka yang kreatif dan menginginkan sentuhan peribadi dengan mengubah sendiri atau DIY bunga tangan mereka, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah untuk mengenal pasti jenis-jenis bunga yang terdapat di pasaran.

Ini penting bagi mengelakkan pemilihan jenis bunga yang mempunyai unsur negatif seperti bunga Marigold, Oleander dan Yellow Hyacinth. Di sini, kami kongsikan sedikit beberapa jenis bunga yang popular dan sering dijadikan pilihan pengantin sebagai bunga tangan menghiasi hari bahagia mereka.

1. Mawar

Siapa yang tidak kenal dengan rupa bunga ‘favorite’ ramai ini. Bunga mawar atau lebih dikenali sebagai rose, terdiri daripada warna seperti merah, merah jambu dan putih.


Ia sering dijadikan pilihan kerana bunga mawar merupakan lambang cinta sejati dan salah satu cara pasangan pengantin untuk mengekspresi simbol romantis dan kasih sayang di dalam majlis perkahwinan mereka.

2. Lily

Buat bunga jenis ini, warna lily putih menjadi pilihan utama di dalam gubahan bunga tangan pengantin.
Ini kerana pemilihan bunga lily selain daripada menebarkan bauan yang sungguh harum, warna putih pada bunga lily juga menjadi simbol kesetiaan dan kesucian.

3. Baby Breath

Buat bunga jenis ini, warna lily putih menjadi pilihan utama di dalam gubahan bunga tangan pengantin.

Populariti bunga ini semakin meningkat dalam kalangan pasangan pengantin kerana sifat bunganya yang tampak sederhana tetapi mempunyai maksud dan keunikkannya yang tersendiri. Bunganya yang halus dan kecil menggambarkan keikhlasan dan ketulusan hati pengantin pada saat akad nikah dilangsungkan. Simple but sweet!

4. Daisy

Bunga daisy semanis namanya begitu popular dalam kalangan penggubah bunga mahupun pengantin.
Bunga daisy terumatanya yang berwarna putih dan merah gelap sering digandingkan bersama membentuk gubahan bunga tangan yang cukup indah. Selain itu, mesej yang cuba disampaikan melalui gubahan bunga daisy adalah lambang kejujuran dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi yang dijanjikan pasangan.

5. Ranunculus

Bunga jenis ini mempunyai pelbagai jenis variasi warna yang kelihatan sungguh ceria. Bunga ini amat sesuai untuk pengantin perempuan yang ingin menonjolkan lambang keperibadian cinta mereka yang penuh dengan penghargaan terhadap kehadiran pasangan dalam hidup.
Bunga tangan jenis ini juga sesuai bagi majlis perkahwinan yang banyak menggunakan warna-warna pastel.

6. Gardenia

Bunga gardenia sering menjadi pilihan kerana ia merupakan cara menyerlahkan kebahagiaan dan rasa kesyukuran pengantin terhadap pasangan dan perkahwinan yang bakal dibina bersama. Sifat bunganya yang berwarna putih polos menunjukkan sifat peribadi pengantin yang menawan dan lemah-lembut.

7. Calla Lily

Bunga calla lily ini kelihatan sangat cantik jika digayakan terutamanya pada majlis perkahwinan yang berkonsepkan dalam taman atau English wedding. Calla Lily merupakan simbol kepada sifat kesetiaan dan kesucian. Bunga tangan menggunakan bunga ini mampu mempamerkan keanggunan dan kecantikan semula jadi pengantin.

8. Peony

Bunga peony mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang sering dikaitkan dengan kebudayaan masyarakat cina. Bunga peony dikatakan mampu menimbulkan aura positif dan menaikkan kemesraan antara pasangan pengantin.
Jadi, pemilihan bunga peony sesuai untuk digayakan buat pengantin yang menginginkan sedikit kelainan dan mahu menampilkan ciri-ciri kebudayaan di dalam perkahwinan mereka.

9. Lily Of The Valley

Bunga jenis ini agak berbeza kerana sifat bunganya yang kecil dan halus selain membentuk seolah-olah seperti loceng. Bunga ini sungguh unik untuk dijadikan bunga tangan kerana ianya tampak comel dan manis.
Pengantin yang menjadikan bunga ini sebagai pilihan utama untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka nanti pastinya ingin menyerlahkan pesona kesederhanaan dan kemurnian.

10. Eustoma

Bunga eustoma begitu unik sekali dan pemilihannya sebagai bunga tangan begitu popular kerana sifat warnanya yang pelbagai dan terang iaitu kuning, merah jambu, ungu dan biru.
Ini mampu membangkitkan lagi seri pengantin dan menyerlahkan personaliti diri yang sentiasa gembira. Selain itu, bunga eustoma juga merupakan simbol kekaguman dan penghormatan terhadap pasangan yang dikahwininya.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart